Tuesday, June 29, 2010

JANGAN KERANA KITA ISLAM TERFITNAH!



Maksud firman Allah SWT : " Serulah manusia kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan dengan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk " an Nahl : 125

Kehadrat Dia pujian di lanjutkan, syukuri nikmat segala yang ada, Sang Pencipta itu tidak henti memberi, mengapa kita hamba hina mahu melupai, sudah hebat dan perkasa benarkah? Junjungan besar di akhir hayat masih lagi terkeluar 'ummati' dari bicaranya, mulia benarkah kita sehingga untuk berselawat sepatah dua pun susah? Selawat dan salam buat baginda. Muhammad Rasulullah.

Afwan, ku mulai dengan maaf kerana aku tahu setiap kali aku ber'aku', mungkin hemah bicaraku hilang sedikit, namun aku dengan lafaz insyaAllah, pedasku, kasarku, masih lagi aku yakini tidak terkeluar dari syari'atullah bicaraku ini, jika aku tersasar maka bangkitlah kamu dengan pedang-pedang mu datang mengingatkanku, silakan wahai sahabat.

Izinkan aku insan hina mula berbicara dan ku mulakan dengan kisah dialog Nabi Musa AS dengan kaumnya yang telah dirakamkan dalam firman Allah SWT yang maksudnya :

“ Wahai kaumku, bagaimanakah kamu, aku menyeru kamu kepada keselamatan tetapi kamu menyeru aku ke neraka. Kamu menyeru aku supaya kafir kepada Allah dan mempersekutukanNya dengan apa yang tidak aku ketahui padahal aku menyeru kamu beriman kepada Yang Maha Perkasa lagi Maha Pengampun. Sudah pasti bahawa apa yang kamu seru supaya aku beriman kepadanya tidak dapat memperkenankan seruan apa-apapun baik di dunia mahupun diakhirat. Dan sesungguhnya kita kembali kepada Allah dan sesungguhnya orang-orang yang melampaui batas, mereka itulah penghuni neraka. Kelak kamu akan ingat kepada apa yang ku katakan kepada kamu. Dan aku menyerahkan urusanku kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Melihat akan hamba2Nya " al Mukmin - 41 : 44

Dengan kemelut dunia sekarang, aku tahu, bukan mudah berjalan di atas syaria'tullah, bukan senang menelusuri sunnatullah, kulihat jalannya berliku, hiruk pikuk dengan segala macam kesesatan, gejala-gelaja ma'asi, perlakuan-perlakuan mungkar, dan apa lagi yang semuanya secara pasti aku katakan ianya buruk di mata Addeenul Islam. Gejala terkutuk inilah yang kini senang ditelusuri oleh sekian ramai anak Adam, maka, sudah menjadi kebiasaan manusia, yang senang itu dipilih, yang payah itu dikesampingkan.

Aku tidak terlalu hairan melihatkan manusia-manusia yang hilang pedoman, tiada bekal ilmu, tidak mendapat nurture atau asuhan yang baik terperosok ke lembah yang bejat itu. Bahkan, untuk mereka ini, walaupun dilihat berjalan berpegangan tangan, aksi ringan-ringan, keluar dating, aku masih mampu mengucap nafas lega, aku masih lega kiranya mereka belum terlalu jauh menjunam meneroka lembah ma'asi. Aku telah katakan tadi, mereka ini tidak dilengkapi dengan ilmu yang cukup untuk memahami perlakuan mereka itu menyimpangi syari'atullah, maka para da'ie sekalian, ini tugasnya kalian yang punya ilmu untuk memahamkan, ayuh!...keluarkan singa-singa kamu!

Tetapi sahabat sekalian, fasa ini aku mungkin hilang hemahnya, hilang hemahku ini bukan kerana ammarah bissu' yang dikontrol syaitan, tetapi kerana sayangku kepada kalian. Wahai sahabat-sahabat yang berilmu sekalian, sahabat yang bijak pandai, para cendikiawan, ilmuan, agamawan dan entah apa lagi gelarannya. Oleh kerana tarbiyahmu sudah cukup untuk mematangkan, sudah cukup utk kamu membezakan yang mana haq yang mana batil, sudah khatam kamu soal fiqh, syariat dan sebagainya, maka aku ingatkan bahawa sekarang murka dan laknat Allah bersama kamu!!! Jangan melenting dulu!

Sabda Rasulullah SAW :
" Berbicaralah kepada manusia menurut kadar kemampuan akal mereka masing-masing " HR : Muslim

Jika kalian bangga dengan ilmu yang kalian ada, jika kalian megah dengan pandangan org disekitar, jika kalian rasa dada kalian sudah cukup isinya, maka aku mahu tanya kalian, kenapa bongkak benar hati itu untuk melihat dengan jelas apa yang benar apa yang salah? Kenapa perlakuan yang menghampiri ma'asi itu yang kalian tayang2kan? Kenapa benda-benda yang pastinya boleh menimbulkan fitnah itu kalian mulakan?

Aku tanya kalian wahai si ilmuwan sekalian, kenapa hati menjadi buta hanya sekadar ingin beroleh sedikit keseronokan yang pastinya tidak kekal? Apa sudah bertukarkah status kalian dari si alim yang hebat menjadi si jahil yang sombong? Aku pasti, jika hati masih lagi diselimuti gelap pekat rasa bongkak, maka wacana aku ini kalian akan bangkul sampahkan, kalian akan mencari-cari hujah mengiakan kebejatan kalian, begitulah manusia, sentiasa mahu menang walaupun secara haqnya sudah tahu yang mana betul yang mana salah. Inilah perlakuan hati-hati kosong yang bongkak tidak mahu menerima kebenaran!!

Maka aku rayu, jika kalian mahu aku melutut di depan kalian pun aku sanggup, aku katakan ini Demi Allah aku sanggup! Asalkan kalian bisa menilai dan muhasabah kembali sehingga benar-benar mampu melihat kekhilafan yang telah dilakukan dgn mata hati!

Maksud firman Allah " Mereka itu adalah orang-orang yang Allah mengetahui apa yang ada di dalam hati mereka. Kerana itu berpalinglah kamu dari mereka dan berikanlah mereka pelajaran dan katakanlah kepada mereka perkataan yang berkesan kepada jiwa mereka " an Nisa' : 63

Tidak aku bicara begini untuk mereka yang lain, ini bicaraku khas utk sahabat yang amat aku kasihi lillahita'ala, hikmah itu tidak semestinya lembut, juga tidak semestinya keras, bahkan ia bukan juga diantara lembut dan keras, hikmah adalah apabila kita menyesuaikan situasi dengan tujuan. Maka teguran ini aku kira sesuai untuk hati-hati ilmuwan yang mulai gelap, kerna aku pasti, kalian punya akal untuk berfikir.

Ingat wahai sahabat, dirimu menjadi cermin pada yang lain, menjadi ikutan dan tauladan, menjadi cahaya untuk kegelapan, maka jika kalian suka untuk mengakali syari'atullah, apa jadi pada mereka yang lain?? Kerana itulah, aku tidak mahu lagi berlemah lembut, kerna ini soal agama! Ini soalnya bagaimana mahu membawa keizzahan Islam ke puncak!

Jika tadi aku mampu lagi menarik nafas lega melihatkan pasangan kekasih yang dating sana sini, itu kerana sudah aku nyatakan mereka mungkin tidak punya kefahaman, akan tetapi kini aku bicara dengan para ilmuwan! aku bicara dengan yang punya kefahaman, maka biarpun sedikit perlakuannya, namun jika ia sudah cukup untuk menimbulkan fitnah maka ini tidak lagi mampu melegakan nafasku, bahkan aku mungkin kesesekan nafas! Ingat wahai sahabat, kelakuanmu walaupun sedikit, tetapi jika ia mampu membangkitkan fitnah, maka fitnah itu bukan sekadar jatuh di atas batu jemala kalian, tetapi kemuliaan Islam juga boleh tercalar akibat fitnah yang dimulakan kalian!

Apa kalian mahu menjadi pemula fitnah kepada Islam? kalian ingat Allah? Kalian ingat Rasulullah? Kalian ingat? Kalau lupa, usahlah baca lagi, lupakan saja!!! Aku berikan sedikit contoh sahaja, seorang wanita yang pakaiannya ketat, berseluar sendat, tidak bertudung, berjalan seiringan dengan seorang lelaki berabut ala-ala mohawk berpimpinan tangan, dengan satu lagi situasi iaitu seorang wanita yang bertudung litup, berjubah sopan, duduk di bawah pokok ditaman bunga berduaan dengan bukan muhrim, tidak pegang tangan pun, situasi mana lebih hebat fitnahnya pada Islam?

Kalian bijak pandai pasti mampu memberikan jawapan tepat! aku yakin!!! Rasanya tidak cukup apa yang aku wacanakan ini, namun harapnya bijak pandai sekalian mampu memahami, aku tidak totokkan kepada perlakuan apa, situasi apa, maka ianya tiada pengkhususan, ia terbuka untuk semuanya, bahkan untuk diriku sendiri juga. Apapun, aku mohon dengan sangat, agar kalian dapat memahami dengan jelas dan nyata pernyataanku yang satu ini!

" JANGAN KERANA KITA ISLAM TERFITNAH!!! "

Wallahu'alam...aku undur dulu

www.iluvislam.com
mzulhairi
editor: azzahra_solehah
.


Friday, June 25, 2010

DAHSYATNYA Apabila Kiamat Tiba

Gambar hiasan: Masjid Beijing Rantau Panjang


(Surah At-Takwir, ayat 1-14)

APABILA matahari digulung, (At-Takwir: 1)

dan apabila bintang-bintang berjatuhan, (At-Takwir: 2)

dan apabila gunung-gunung dihancurkan, (At-Takwir: 3)

dan apabila unta-unta yang bunting ditinggalkan (tidak dipedulikan), (At-Takwir: 4)

dan apabila binatang-binatang liar dikumpulkan, (At-Takwir: 5)

dan apabila lautan dijadikan meluap, (At-Takwir: 6)

dan apabila ruh-ruh dipertemukan (dengan tubuh), (At-Takwir: 7)

apabila bayi-bayi perempuan yang dikubur hidup-hidup ditanya, (At-Takwir: 8)

kerana dosa apakah dia dibunuh, (At-Takwir: 9)

dan apabila catatan-catatan (amal perbuatan manusia) dibuka, (At-Takwir: 10)

dan apabila langit dilenyapkan, (At-Takwir: 11)

dan apabila neraka Jahim dinyalakan, (At-Takwir: 12)

dan apabila syurga didekatkan, (At-Takwir: 13)

maka tiap-tiap jiwa akan mengetahui apa yang telah dikerjakannya. (At-Takwir: 14)



Tiada ungkapan lidah yang boleh menggambarkan betapa dahsyatnya suasana ketika hari kiamat nanti. Malangnya nasib manusia, biarpun telah diingatkan dengan ayat-ayat Allah, manusia masih alpa. Entah saat bila kiamat akan menjelma, namun jiwa-jiwa insan masih belum bersedia berhadapan dengannya.

Thursday, June 24, 2010

Santapan Jiwa "Aku HAMBA"


Aku selalu membuat dosa
Sering melakukan kesalahan
Sekalipun aku sudah pun mencuba
Untuk menolaknya Wahai Tuhan
Dengan rahamt-Mu Engkau
ampunkanlah
Seluruh dosa-dosaku
Jangan biarkan, aku terumbang-
ambing
Dan tenggelam dengan dosa
Aku inikan hamba-Mu
Aku adalah boneka
Yang Engkau Cipta
jangan Engkau biarkan aku
Tanpa pimpinan, aku akan tersesat
jalan
Kalau Engkau biarkan aku
Dengan dosa dan noda
Kalau Engkau tinggalkan aku
Dengan kesalahan
Segala yang kumiliki
Tiada erti apa-apa

Mutiara Tazkirah


LATIHLAH DIRI ANDA...

Marilah kita melatih diri kita menjadi Islam sebenar.

Adakah kita telah terdidik dan pula mempraktikkan apa yang telah ditetapkan oleh Allah. Mari kita semak senarai di bawah, apakah diri kita telah terdidik dengan kehidupan dan sifat orang Islam sebenar.

  • Jika anda mendirikan solat, maka anda amat khusyuk. Fikiran penuh tertumpu pada Allah, tidak mengingati perkara keduniaan.
  • Jika anda mendengar kesusahan orang, baik sakit atau masalah hidup, maka anda begitu terbuka untuk membantu. Dipenghujung hari, sebelum tidur anda selalu mengingati kembali berapa banyak dosa dilakukan pada hari tersebut lantas anda bertaubat sebelum tidur.
  • Anda selalu mengingati hari kematian yang akan tiba, dengan itu sentiasalah anda berfikir dan mencari-cari jalan untuk melakukan amalan baik.
  • Anda selalu menghitung rezeki yang Allah berikan dan menghitung sebanyak mana pula telah dikembalikan ke jalan Allah.
  • Anda mengingati kembali orang-orang yang pernah anda lakukan dosa dan kejahatan kepada mereka baik secara umpatan dan kata nista, bahkan juga dengan tangan serta perbuatan lain yang menyakiti mereka. Lantas anda memohon maaf kepada mereka atau kaum keluarganya jika ia telah meninggal.
  • Anda dapat bersabar dan rasa insaf bila apa yang anda inginkan tidak tercapai. Anda merasa sedar akan kelemahan diri dan menggantungkan seluruh hidup ini atas pemberian Allah.
  • Anda sentiasa redha dan bersabar dengan rezeki yang Allah berikan walaupun dirasakan tidak mencukupi. Anda bersyukur bila menerima rezeki dari Allah dan berazam untuk membelanjakannya kerana Allah. Jika anda miskin atau tidak mencukupi dalam belanja harian, anda tetap bersyukur, bahkan merasa senang kerana tidak perlu bersusah payah mentadbir harta yang banyak atau merasa bimbang kerananya.
  • Anda merasa senang hati atau bersabar meskipun ada orang yang mencaci anda di belakang anda bahkan anda mendoakan agar orang tersebut diberikan keinsafan dan kesejahteraan. Anda turut merasa gembira jika orang lain diberikan kesenangan oleh Allah dan sedikit pun tidak timbul rasa iri hati. Anda akan merasa tenang dan bersabar jika harta anda hilang atau musnah kerana anda merasakan itu adalah kehendak Allah setelah anda berusaha menjaganya.
  • Anda tidak berburuk sangka kepada Allah sebaliknya redha dengan apa yang berlaku. Anda akan sentiasa berserah kepada Allah atas apa yang berlaku.

Wednesday, June 23, 2010

Pergi Mu Tanpa Diundang

Bismillahirahmanirahim..

Sudah 2 minggu Tok Ayoh pergi meninggalkan kami anak beranak. Terasa sedih dan rindu bila mengingati arwah ketika bersama. Umurnya yang menjangkau 9o tahun lebih merupakan seorang guru Qur'an yang mesra dengan panggilan Tok Ayoh. Suasana redup dan tenang menjelang rabu dari awal sekembalinya arwah dan diikuti dengan hujan yang renyai-renyai minggu 1 dan 2 ini menimbulkan persoalan kepada aku sendiri. Kemungkinan rahmat Allah mencurahkan bumiNya kepada hamba-hambaNya.

Kembalinya arwah ke rahmatullah pada hari Rabu, 9 Jun 2010 lebih kurang jam 1.45 petang setelah selesai sahaja menunaikan solat Zohor oleh para jamaah surau yang terletak di belakang rumah arwah. Semoga rohnya dicucuri rahmat. Walaupun pada masa itu, aku tak sempat dengan arwah.

Banyak memori dan kenangan yang dapat cucunya coretkan dan dikongsi bersama ketika arwah masih ada. Arwah yang merupakan seorang tok guru Qur'an sentiasa mengajar al-Qur'an hingga ke akhir hayat. Ketabahan dan kegigihan arwah mendorong anaknya dan cucunya untuk teruskan usaha yang mulia ini.

Sebelum kembalinya arwah ke rahmatullah, arwah yang sakit tua yang tidak dapat berjalan namun hanya mampu bergerak (ngesok) sahaja selama hampir 5 bulan.

Meniti liku-liku hidup seorang tok guru al-Qur'an, banyak memberi kenangan pahit dan manis kepada cucu-cucunya. Sikap dan sifatnya yang tegas dan penyabar dalam mendidik anak muridnya terutama cucu-cucunya mengaji al-Qur'an sehingga kenal huruf-huruf al-Qur'an.

Sepanjang kehidupan arwah, setelah selesai mengajar al-Qur'an ,arwah banyak menghabiskan masa bermain bersama cucu-cucunya. Dari kecil arwah menjaga dan bermain bersama cucu-cucunya sehinggalah kembalinya arwah ke rahmatullah. Kesempatan masa yang ada juga arwah habiskannya dengan membela kambing. Semenjak arwah menjaga dan membela kambing, jarang sekali kambing yang lahir anak sekor. Selalunya kembar. Dari awal bela sampai sekarang lahir anak kembar. Alhamdulillah, itulah rezeki dari Allah.

Arwah yang mengajar al-Qur'an di surau yang bersambung dengan rumahnya sentiasa menanti dan menunggu murid-muridnya datang belajar mengaji. Kebiasaannya arwah mengajar lepas sahaja murid-muridnya pulang dari sekolah lepas solat zohor dan pada waktu pagi lepas subuh setiap hujung minggu. Ketabahan dan kegigihan dalam mendidik anak-anak muridnya mengenal alif ba ta tidak disia-siakan. Sikapnya yang tegas bukan garang memeritkan anak-anak muridnya untuk mengaji al-Qur'an.

Disaat-saat akhir arwah sebelum pergi bertemu Allah, arwah ada berpesan kepada anaknya yang bongsu yang seorang penghulu...
kata arwah: "jange g laen la, duk rumoh nie jah"..
masa yang sama juga anak bongsunya kena bertugas di Muktamar Pas ke-56, jadinya kena hadir tunjuk muka la sekejap.. Masa tu juga arwah ada berpesan yang sama kepada abang aku.

Abang aku menceritakan, setelah selesai solat zohor yang pada waktu itu terasa mengantuk yang amat sangat oleh para jamaah memberi seribu satu persoalan??? Disamping arwah ketika itu adalah mak aku yang menjaganya. Maka bergegaslah para jamaah setelah selesai memberi salam yang kedua. Dan akhirnya sampailah saat arwah dijemput untuk bertemu Allah.

Sesungguhnya kepada Allah jualah kita dikembali.

Berita pemergian arwah hanya dapat aku tahu selepas balik dari kuliah jam 2.15 petang. Sedih rasanya sebab tak dapat nak berbual lama dengan tok ayoh lagi walaupun waktu malam sebelumnya sempat untuk menyuapkan nasi air je dan berbual mesra dengannya.

Maka persiapan pengurusan jenazah disiapkan setelah mendapat berita tersebut. Proses pengebumian arwah diurus pada malamnya setelah selesai solat jenazah jam 10.00 malam. Kemudian, arwah dikebumikan di Tanah Perkuburan Pohon Manis atau lebih dikenali kubur Pohon Manis oleh masyarakat sekeliling.

Semoga roh arwah dicucuri rahmat dan ditempat bersama-sama para soleh solihin.

- Dari cucunya yang mengasihi dan dikasihi

Tuesday, June 22, 2010

KULIAH PENGAJIAN TAUHID 2: RUKUN-RUKUN IMAN

Rukun-rukun Iman ialah tiang-tiang kepercayaan yang mesti dipegang teguh oleh setiap orang Islam ialah enam perkara. Sebagaimana yang dijelaskan oleh nabi Muhammad S.A.W :

الايمان ان تؤمن بالله وملائكته وكتبه ورسله واليوم الآخر وتؤمن بالقدر خيره وشره. - رواه الخمسة

Ertinya : " Iman itu ialah engkau beriman kepada Allah, MalaikatNya, Kitab-kitabNya, Rasul-rasulNya, hari Akhirat dan untung baik dan jahat (qada' dan qadar) daripadanya."

Ini bermakna rukun-rukun Iman itu enam, iaitu:
1- beriman (percaya) kepada Allah, tuhan pencipta alam.
2- beriman kepada para Malaikat yang menjalankan tugas-tugas dalam pentadbiran Allah.
3- beriman kepada Kitab-kitab Allah sebagai undang-undang yang diturunkan kepada umat manusia untuk menjadi panduan ke arah keselamatan dunia dan akhirat.
4- beriman kepada Rasul-rasul yang menjadi utusan-utusan Allah untuk membawa undang-undang kepada manusia.
5- percaya kepada hari akhirat sebagai hari pembalasan yang maha adil dari Allah.
6- percaya kepada qada' dan qadar sebagai undang-undang alam.

Setiap orang wajib beriman dengan sepenuh-penuh dan sebenar-benar keimanan tanpa ragu-ragu lagi, kerana dengan keimanan yang penuh itu akan membawa seseorang kepada bertaqwa dan kepada martabat yang paling tinggi di sisi Allah Ta'ala.

Allah ada berfirman:

وَالَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ سَنُدْخِلُهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا

الأَنْهَار خَالِدِينَ فِيهَا أَبَداً وَعْدَ اللَّهِ حَقّاً وَمَنْ أَصْدَقُ مِنْ اللَّهِ قِيلاً

- النساء : أية 122

Ertinya: " Orang-orang yang beriman dan mengerjakan amalan-amalan soleh, akan kami masukkan ke dalam syurga yang mengalir air-air sungai dibawahnya, mereka kekal didalamnya selama-lama sebagai janji Allah yang benar dan siapakah yang lebih benar perkataan selain dari Allah."


KULIAH PENGAJIAN TAUHID 1: IMAN & PENGARUHNYA

ERTI IMAN

Iman pada bahasa ialah mempercayai sesuatu dengan HATI. Iman pada istilah ialah berkata dengan lidah, percaya dengan hati dan beramal dengan anggota.

Ini bermakna bahawa, orang-orang yang benar-benar beriman ialah orang yang mengucap dua kalimah syahadah, mempercayai dan menyakini dengan hati serta melakukan segala titah perintah Allah dan rasulNya dengan anggota.

Sekiranya kita beriman kepada Allah, maka segala perbuatan dan tingkahlaku kita jangan sekali-kali berlawanan dengan perintah-perintah Allah atau laranganNya.

Sekiranya kita beriman kepada kitab-kitab Allah, maka hendaklah kita ikuti benar-benar segala ajaran-ajaran yang terkandung di dalamnya. Jangan sesekali kita membelakanginya atau menghina mana-mana ajaran yang ada di dalam kitab-kitab itu.

Sekiranya kita beriman kepada rasul, maka hendaklah kita ikuti titah perintah dan ajaran-ajaran yang disampaikan oleh rasul kepada kita.

Sekiranya kita beriman kepada hari akhirat, maka hendaklah kita melakukan kebaikan untuk mendapat balasan yang baik serta menjauhkan dari perbuatan-perbuatan yang jahat dan keji kerana perbuatan-perbuatan seperti itu akan menyusahkan kita hidup di dunia ini dan menerima azab sengsara di negeri Akhirat.

Tegasnya, orang-orang yang mengakui beriman dengan lidah sahaja sedangkan hatinya kosong dari keyakinan-keyakina. Maka itulah orang-orang yang menipu diri sendiri dan di negeri Akhirat dia akan mendapat balasan yang buruk.

Orang yang mengaku beriman dengan lidah tetapi tidak mengerjakan segala titah perintah Allah, maka iman seperti ini tidak boleh menyelamatkan tuannya dari neraka. Iman seperti ini juga mudah ditembusi dan mudah dinodai oleh hawa nafsu dan pengaruh material dan mudah menjadi binasa.

Setiap orang Islam wajib memperteguhkan imannya dengan ilmu pengetahuan yang dalam serta dengan logik-logik konkrit supaya dengan iman ini, kita dapar hidup selamat bahagia di dunia dan di akhirat.

PENGARUH IMAN

Apabila seseorang mempunyai iman yang penuh, akan teguhlah hatinya kepada Allah dan akan bersihlah dari segala-segala was syaitan. Dan apabila hati seseorang itu menjadi bersih, maka bertambah cintalah kepada Allah dan bertambah tinggilah mutunya disisi Allah.

Seseorang yang baik dan sempurna hatinya akan terbentuklah peribadinya dengan watak-watak yang baik dan akan timbullah tingkah laku dan akhlak-akhlak yang mulia sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W.

الا ان فى الجسد مضغة اذا صلحت صلح سائر الجسد كله واذا فسدت فسد سائر الجسد الا وهى
القلب. رواه البخارى ومسلم

Ertinya : "Ingatlah! bahawa didalam tubuh manusia itu ada segumpal daging. Apabila daging itu baik, maka baiklah seluruh tubuh dan apabila daging itu rosak, maka rosaklah seluruh tubuh. Itulah hati."

Apabila setiap anggota masyarakat telah dipengaruhi oleh iman yang mendalam, maka sudah tentu masyarakat dan negara itu akan hidup aman dan bahagia. Allah sendiri telah membuat jaminan sebagaimana firmannya:

مَنْ عَمِلَ صَالِحاً مِنْ ذَكَرٍ أَوْ أُنثَى وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَلَنُحْيِيَنَّهُ حَيَاةً طَيِّبَةً
النحل: أية 97


Ertinya : " Barang siapa yang mengerjakan amal soleh, baik lelaki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan kami hidupkannya dengan kehidupan yang baik."

Dan Allah sendiri sanggup memimpin orang-orang yang beriman itu kepada jalan yang benar, jalan ke arah keselamatan dunia dan akhirat. Sebagaimana firmannya:

وَإِنَّ اللَّهَ لَهَادِ الَّذِينَ آمَنُوا إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ
الحج : أية 54


Ertinya : " Dan sesungguhnya Allah adalah pemimpin orang-orang yang beriman kepada jalan yang lurus."

Jika seseorang itu telah dipimpin oleh Allah, dan cinta kepada agamanya, dia sanggup menempuh apa sahaja jurang-jurang dan rintangan-rintangan kerana berjuang meluas dan menegakkan kepercayaannya sekalipun dia dizalim dan diseksa seperti yang telah berlaku kepada Bilal bin Rabah dan kepada keluarga Umar bin Yasir dan sebagainya, namun iman dan kepercayaannya tidak dapat ditukar dengan apa pun.

KEBINASAAN IMAN

Untuk mendapat keimanan yang penuh, perlu kepada perjuangan dan ibadah yang sungguh-sungguh. Seseorang yang beriman teguh sukar hendak dibinasakan imannya, tetapi bagi orang-orang yang tipis imannya mudah berlaku kebinasaan.

Antara sebab-sebab kebinasaan iman ialah:
1- Dengan perbuatan, seperti: menyembah berhala, memuja tempat-tempat keramat, menjamu hantu-hantu laut kerana mempercayai disana ada kuasa-kuasa, atau menghinakan al-Qur'an, atau mana-mana ayat al-Qur'an atau Hadith.

2- Dengan perkataan, seperti: menghalalkan perkara yang haram, umpamanya menghalalkan minuman arak, menghalalkan judi, dan sebagainya. Dan mengharamkan benda yang halal seperti mengharamkan perkahwinana atau sebagainya.

3- Dengan kepercayaan, seperti mempercayai adanya nabi selepas nabi Muhammad S.A.W, atau mempercayai Allah itu mempunyai anak isteri.

Setiap orang yang melakukan salah satu dari perbuatan-perbuatan yang membinasakan iman itu, maka dia menjadi murtad atau kafir, dan terkeluar dari agama Islam. Segala amal ibadah yang telah lalu menjadi hancur dan rosak binasa, di negeri Akhirat dia akan menerima azab sengsara, sebagaimana firman Allah: -

وَالْكَافِرُونَ لَهُمْ عَذَابٌ شَدِيدٌ
الشورى : أية26


Bererti : " Dan orang-orang kafir itu bagi mereka azab yang pedih"

Orang-orang murtad boleh kembali kepada Islam dengan bertaubat bittaubatinnasuha dan mengucap dua kalimah syahadah kembali.

.......................................
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...