Tuesday, June 22, 2010

KULIAH PENGAJIAN TAUHID 2: RUKUN-RUKUN IMAN

Rukun-rukun Iman ialah tiang-tiang kepercayaan yang mesti dipegang teguh oleh setiap orang Islam ialah enam perkara. Sebagaimana yang dijelaskan oleh nabi Muhammad S.A.W :

الايمان ان تؤمن بالله وملائكته وكتبه ورسله واليوم الآخر وتؤمن بالقدر خيره وشره. - رواه الخمسة

Ertinya : " Iman itu ialah engkau beriman kepada Allah, MalaikatNya, Kitab-kitabNya, Rasul-rasulNya, hari Akhirat dan untung baik dan jahat (qada' dan qadar) daripadanya."

Ini bermakna rukun-rukun Iman itu enam, iaitu:
1- beriman (percaya) kepada Allah, tuhan pencipta alam.
2- beriman kepada para Malaikat yang menjalankan tugas-tugas dalam pentadbiran Allah.
3- beriman kepada Kitab-kitab Allah sebagai undang-undang yang diturunkan kepada umat manusia untuk menjadi panduan ke arah keselamatan dunia dan akhirat.
4- beriman kepada Rasul-rasul yang menjadi utusan-utusan Allah untuk membawa undang-undang kepada manusia.
5- percaya kepada hari akhirat sebagai hari pembalasan yang maha adil dari Allah.
6- percaya kepada qada' dan qadar sebagai undang-undang alam.

Setiap orang wajib beriman dengan sepenuh-penuh dan sebenar-benar keimanan tanpa ragu-ragu lagi, kerana dengan keimanan yang penuh itu akan membawa seseorang kepada bertaqwa dan kepada martabat yang paling tinggi di sisi Allah Ta'ala.

Allah ada berfirman:

وَالَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ سَنُدْخِلُهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا

الأَنْهَار خَالِدِينَ فِيهَا أَبَداً وَعْدَ اللَّهِ حَقّاً وَمَنْ أَصْدَقُ مِنْ اللَّهِ قِيلاً

- النساء : أية 122

Ertinya: " Orang-orang yang beriman dan mengerjakan amalan-amalan soleh, akan kami masukkan ke dalam syurga yang mengalir air-air sungai dibawahnya, mereka kekal didalamnya selama-lama sebagai janji Allah yang benar dan siapakah yang lebih benar perkataan selain dari Allah."


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...