Tidak lama lagi, kita akan didatangi tetamu agung yang ditunggu-tunggu selama 11 bulan lamanya. Tetamu itu adalah bulah Ramadhan al-Mubarak. Bulan yang penuh dengan keberkatan. Didalamnya terdapat satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Bulan yang dipenuhi dengan kerahmatan, keampunan dan pembebasan dari api neraka. Bulan yang dirindukan kedatangannya dan ditangisi kepergiannya oleh orang-orang yang soleh.
Pada bulan inilah kaum muslimin akan melakukan pengembaraan rohani dengan mengekang hawa nafsu syahwat dan mengisi ruang waktu dengan amal-amal soleh. Kesemuanya bermatlamatkan untuk mendapatkan ketaqwaan sebagai sebaik-baik bekalan untuk menemuiNya nanti. Untuk mencapai tujuan tersebut,kita perlu melengkapkan diri dengan beberapa persediaan supaya kedatangan Ramadhan dapat diisi dengan sebaik-baiknya.
Perancangan Sambutan Ramadhan
1) Merencanakan Peningkatan Prestasi Ibadah (Syahrul 'Ibadah)
Ibadah Ramadhan dari tahun ke tahun seharusnya meningkat. Tahun ini sepatutnya lebih baik dari tahun lepas. Ibadah Ramadhan yang bakal kita lakukan seharusnya lebih berkualiti dan memberikan impak yang positif. Di antara bentuk-bentuk peningkatan amal Ibadah seseorang muslim di bulan Ramadhan adalah penambahan kuantiti dan kualiti tilawah al-Qur'an, hafalan, pemahaman dan pengamalannya.
Peningkatan dalam aktiviti sosial seperti infak, memberi makan kepada jiran tetangga dan fakir-miskin (moreh@ majlis brbuka puasa), santunan terhadap anak yatim, bantuan kewangan terhadap para pelajar yang memerlukan dan sebagainya. Kita juga boleh merancang untuk mengurangi pola hidup kepenggunaan yang melampau dan membazir dan memantapkan tekad untuk menyokong dan membantu usahawan muslim dengan membeli barangan untuk keperluan atau menggunakan perkhidmatan mereka.
2) Menjadikan Ramadhan sebagai Syahrul Taubah (Bulan Taubat)
Bulan Ramadhan adalah bulan di mana syaitan dibelenggu, hawa nafsu diikat, pintu neraka ditutup dan pintu syurga dibuka. Bulan Ramadhan adalah bulan yang paling afdal untuk bertaubat dan memulakan hidup baru dengan langkah-langkah yang lebih Islami. Taubat bererti meninggalkan kemaksiatan, dosa dan kesalahan serta kembali kepada fitrah kebenaran. Atau kembalinya hamba kepada Allah SWT, meninggalkan jalan orang yang dimurkai dan jalan orang yang sesat.
Oleh kerana itu, pada bulan Ramadhan, umat Islam seharusnya memperbanyakkan istighfar, mengakui kesalahan dan meminta maaf terutama kepada sesama mereka serta mengembalikan hak-hak mereka. Taubat dan istighfar menjadi syarat utama untuk mendapat keampunan dan kerahmatan Tuhan.
3) Menjadikan bulan Ramadhan sebagai Syahrul Tarbiyah & Da'wah
Bulan Ramadhan harus dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh para dai'e dan ulama untuk melakukan da'wah dan tarbiyah. Mereka pastinya melipatgandakan usaha melakukan gerakan reformasi (harakatul Islah) dan memperkasakan ukhuwwah Islamiyah sesama muslim dan insan.
Mereka juga berusaha gigih meningkatkan kepekaan masyarakat untuk menolak sebarang bentuk kezaliman dan kemaksiatan, menyebarkan syiar Islam dan meramaikan masjid dengan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat, seperti menunaikan solat sunat tarawih, ta'alim/usrah, menadah kitab, diskusi dan kuliah serta ceramah sehinggalah tercapainya perubahan-perubahan yang bermakna dalam pelbagai bidang kehidupan. Ramadhan bukan bulan istirehat yang menyebabkan mesin-mesin kebaikan berhenti bekerja, bahkan momentum tahunan terbesar untuk segala jenis kebaikan. Dan dominasai kebaikan bukan hanya di bulan Ramadhan, tetapi juga di luar Ramadhan.
4) Menjadikan Ramadhan Sebagai Syahrul Muhasabah (Bulan Evaluasi)
Dan terakhir, semua ibadah Ramadhan yang telah dilakukan tidak boleh terlepas dari muhasabah atau evaluasi, Muhasabah terhadap langkah-langkah yang telah kita lakukan dengan sentiasa menajamkan mata hati (bashirah), sehingga kita tidak menjadi orang/kelompok lain. Semoga Allah SWT menerima puasa yang bakal kita laksanakan dan mudah-mudahan peringatan ini dapat membangkitkan semangat beribadah kita sekalian sehingga terbuka peluang bagi mewujudkan sebuah negeri dan negara yang lebih berkat, lebih aman, lebih adil dan sejahtera.
BEBERAPA TIPS PILIHAN SEBELUM MENGHADAPI RAMADHAN
1. Banyakkan berpuasa di bulan Sya'ban. Adalah menjadi sunnah Nabi S.A.W memperbanyakkan berpuasa di bulan Sya'ban.
2. Mengulangkaji ilmu tentang puasa. Untuk mencapai puasa yang sempurna, kita hendaklah memiliki ilmu tentang bagaimana melaksanakan puasa yang sebenarnya sebagaimana yang dituntut oleh syara'. Antara perkara yang perlu diulangkaji ialah:
a) Rukun-rukun puasa serta sunat-sunatnya.
b) Perkara-perkara yang membatalkan puasa.
c) Perkara-perkara yang boleh mengurangkan pahala puasa.
d) Dan segala yang berkaitan dengan ibadah puasa.
3. Membaca kembali hadith-hadith Nabi SAW tentang fadhilat (kelebihan) puasa dan bulan Ramadhan.
4. Mengetahui amalan-amalan utama di bulan Ramadhan. Dengan mengetahui amal-amal ibadah atau amal-amal kebajikan yang amat digalakkan oleh Allah SWT dalam bulan Ramadhan di mana ganjarannya amat besar dan berlipat kali ganda, kita akan jadi lebih bersemangat dan berstamina tinggi untuk melaksanakan amalan-amalan tersebut dengan sebaik mungkin.
5. Memahami matlamat tertinggi dalam peribadatan puasa adalah taqwa. Taqwa terpancar dalam keperibadian diri yang konsisten dan berterusan sepanjang dan selepas bulan Ramadhan.
No comments:
Post a Comment