Thursday, September 16, 2010

Mendekati Ulama' & Para Wali Allah




Disusun oleh:
Ahmad Lutfi B Abdul Wahab Al-Idrisi Al-Linggi


Saya mengambil kesempatan disini untuk berkongsi bersama hasil kitab yang disusun oleh saudara Ahmad Lutfi B Abdul Wahab Al-Idrisi Al-Linggi yang amat bermakna buat saya untuk mengenali para Ulama' dan Wali Allah di muka bumi Mesir, bumi para Anbiya'.

Dikesempatan ini juga ingin saya berkongsi tulisannya hasil kajian demi kajian yang telah dilaksanakan. Hasil kitab ini sebenarnya untuk kita dapat mengenang perjuangan para Ulama' dan Auli'a serta keagungan Allah SWT yang terlalu besar nikmatnya. Perkongsian ilmu berdasarkan sejarah para Ulama' dan para Wali Allah merangsang tuan empunya diri ini akan betapa indahnya mereka semua yang telah banyak menaburkan jasa dan bakti terhadap agama Allah SWT dan sunnah Rasulullah SAW. Ini memungkin kita supaya mengenang langkah mereka yang berjuang dengan setulus jiwa dan ikhlas.

Seperti kata Syeikh Saiyydi Madi Abu A'zaim: Lapangkanlah waktu kamu untuk mengingati akan jasa-jasa ulama'-ulama' terdahulu.

Perlu kita ingatkan bahawa mengenali para Ulama' ini akan menambahkan kecintaan kita pada mereka. Maka dengan kecintaan inilah yang akan menghidupkan hati-hati mukmin sejati. Kecintaan pada mereka juga adalah berpautan dan saling bersangkutan dengan cinta kepada Rasulullah SAW. Hal ini kerana Rasulullah SAW telah menjelaskan:

Ulama' itu adalah pewaris nabi.

Allah SWT telah menjelaskan lagi,

Mereka itulah orang-orang yang diberi petunjuk oleh Allah, maka turutilah olehmu akan mereka.

Oleh kerana inilah, Imam Abu Hanifah RA sendiri lebih cenderung ke arah tersebut dan telah menggalakkan anak-anak muridnya dengan berkata:

Hikayat-hikayat tentang ulama' dan kebaikan-kebaikan mereka lebih aku sukai daripada banyak ilmu Fiqh kerana ia adalah adab ahli kaum Sufi.

Berkata Sufyan Ibn Uyainah RA:
"Ketika menyebut orang-orang soleh akan diturunkan rahmat."

Mencintai warisan para Nabi AS juga seumpama kita mengasihi mereka.

Imam Syafie RA pernah menjelaskan:

"Aku mencintai orang-orang soleh dan bukan aku sebahagian daripada mereka, Aku berharap agar mendapat syafaat kerana mereka."

Berkata Bekas Reaktor Universiti Al-Azhar As Syarif, Dr. Ahmad Umar Hashim: "Aku mendengar daripada Syeikhul Azhar Dr. Abdul Halim Mahmud RA berkata: "Aku suka membaca kisah-kisah ulama'-ulama' yang soleh."

Meniru sedikit sebanyak perilaku mereka serta beramal dengan amalan mereka supaya bertambah kekuatan agama, mujahadah dan kesabaran kita dalam menghadapi ujian dan mehnah daripada Allah SWT.

Sebahagian ulama' pernah mengungkapkan:

Hendaklah kalian menyerupai mereka sekalian tidak seperti mereka kerana menyerupai orang-orang yang mulia adalah merupakan suatu kejayaan.

Jadikanlah perjuangan Anbiya' dan Auli'a sebagai tauladan yang mesti dicontohi. Yakinlah bahawa hanya dengan bahtera Islam dan perjuangannya sahaja dapat membantu bagi menyelusuri jalan-jalan menuju keredhaan Ilahi.

Kekuatan yang dicari pada kisah para Anbiya' dan Auli'a. Itulah pusaka bernilai buat diri ini yang acapkali layu dalam mujahadah. Rasailah percikan semangat kental mereka dalam mengharungi tanda kasih kepada Allah SWT yang tiba saban detik dalam rupa penderitaan dan kegetiran. Percayalah, rasa sukar yang bertapak dihati akan berlalu dan digantikan dengan 1001 kelegaan dan azam baru.

Semoga kita digolongkan di dalam kumpulan kekasih-kekasih Allah SWT yang dilimpahi dengan rahmatNya dan mendapat nikmat balasan yang dijanjikan oleh Rasulullah SAW sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

"Seseorang itu bersama dengan orang-orang yang dikasihinya."

Dipetik Doa Saiyid Ahmad Idris di dalam pengajiaannya:

"Ya Allah! Kurniakanlah kepada kami daripada keberkatan wali-waliMu dan jadikanlah kami dari kalangan orang-orang yang soleh sebaik-baik umat bagi sebaik-baik nabi dan pilihanMu, perkenankanlah permintaan kami Wahai Tuhan sekalian alam."

"Ya Allah! Rahmatilah ke atas penghulu kami Muhammad SAW dan ke atas keluarga Baginda SAW serta para sahabat dan juga sejahterakanlah mereka. Kurniakanlah kepada kami kemanisan iman terhadap apa yang didatangkan oleh Rasulullah SAW."

"Ya Allah! Jadikanlah segala perbuatan dan perkataan kami IKHLAS untuk menuntut keredhaanMu yang mulia dengan kehormatan Al-Qur'an Al-'Azim, Nabi yang mulia, sekalian sahabat dan hamba-hambaMu yang soleh."

1 comment:

  1. assalamualaikum. macamana nak dapat kan buku ni? saya mencari sangat .

    boleh contact saya?

    01117952881

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...